AKTA
PENDIDIKAN DI MALAYSIA
Laman
utama
Pengenalan:
· Akta Pendidikan
Pendidikan 1996 adalah merupakan lanjutan dan pembaharuan dari
Akta Pelajaran 1961. Tujuan Akta Pendidikan 1996 ini ialah ke
arah memantapkan sistem pendidikan kebangasaan untuk generasi
akan datang sejajar dengan kehendak dan cita-cita negara untuk
menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan yang
bermutu tinggi dan bertaraf dunia. Walaupun Akta Pendidikan 1996
merupakan perundangan yang baru, ia menampilkan kesinambungan
kepada hasrat dan dasar pendidikan yang sedia ada. Ia berpaksi
kepada perakuan-perakuan utama Penyata Razak 1956 yang menjadi
asas dasar pendidikan kebangsaan selama ini. Akta baru ini juga
banyak mengekalkan peruntukan yang masih relevan daripada Akta
Pelajaran 1961. Tujuan menggubalkan undang-undang ini (Akta
Pendidikan 1996) ialah untuk memperluaskan skop dan
memperkenalkan perundangan mengenai pendidikan.
Sambil mengambilkira aspirasi semua
kaum di dalam masyarakat majmuk di Malaysia, Akta Pendidikan
1996 memperkenalkan banyak peruntukan perundagan (Legislative
provision) baru untuk menangani cabaran pendidikan menjelang
abad ke-21 dan memenuhi kehendak atau hasrat Wawasan 2020. Dalam
pada itu juga, beberapa peruntukan Akta Pelajaran 1961 yang
tidak relevan telah digugurkan.
Telah dikatakan bahawa Laporan
Razak boleh dianggap sebagai batu asas bagi perkembangan sistem
pendidikan kebangsaan yang telah digunakan. Ciri-ciri penting
dalam pendidikan kebangsaan itu ialah:
- Hasrat untuk membentuk satu sistem
pendidikan kebangsaan bagi semua kaum.
- Untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar utama .
- Untuk menjadi kurikulum yang
berorientasikan kepada alam keliling tanah air dengan
mewujudkan sukatan pelajaran yang sama isi kandungannya.
- Untuk memperkukuhkan sistem pendidikan
kebangsaan bagi semua pelajar di negara ini.
Laporan Razak
· Laporan Razak (Penyata
Razak) mempunyai 17 cadangan dengan mengambilkira matlamat
akhirnya membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan. Di antara
perkara yang diperkatakan ialah:
- Semua
sekolah di tanah air mempunyai sukatan yang sama
- Bahasa
Melayu dijadikan bahasa Kebangsaan dan menjadi bahasa
pengantar utama.
- Bahasa
Melayu dan bahasa Inggeris diwajibkan bagi semua sekolah
rendah dan menengah.
- Bagi sekolah
jenis kebangsaan, bahasa Inggeris, Cina dan Tamil menjadi
bahasa pengantar.
-
Sekolah-sekolah rendah ditukar kepada sekolah kebangsaan dan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.
- Penubuhan
satu jenis sekolah sahaja yang terbuka kepada semua kaum.
- Guru-guru
sekolah rendah dan menengah adalah bekelayakan.
- Sistem
pendidikan sekolah menengah adalah Sekolah Menengah Rendah (SMR),
Sekolah Menengah Atas (SMA) dan Pra Universiti.
- Semua guru
diletakkan di bawah satu perkhidmatan profesional dan Jemaah
Nazir Persekutuan ditubuhkan.
· Selepas daripada
Penyata Razak ini maka telah disesuaikan lagi sistem pendidikan
kita ini oleh Abdul Rahman Talib yang dikenali sebagai Laporan
Talib (1960) yang seterusnya menjadi Akta Pelajaran 1961.
Laporan Rahman Talib
(1960) /Akta Pelajaran 1961
· Di antara beberapa
perubahan dan pindaan yang dibuat dari Laporan Razak yang
dikenali dengan Laporan Rahman Talib ialah:
a.
Pelajaran di sekolah rendah adalah percuma
b.
Sekolah rendah menjadi sekolah kebangsaan dan jenis
kebangsaan.
c.
Sekolah pelajaran lanjutan merupakan persekolahan hingga
umur 15 tahun.
d.
Murid naik darjah secara otomatik
e.
Pelajaran agama Islam bagi murid-murid hendaklah
sekurang-kurannya 15 orang.
f.
Pendidikan akhlak dititikberatkan.
Selepas itu Sistem Pendidikan Anika
Jurusan ditubuhkan pada 1965 bagi Sekolah Menengah Rendah
menggantikan Sistem Pelajaran Lanjutan yang dihapuskan. Mata
pelajaran aneka jurusan di sekolah menengah pada waktu itu ialah
Seni Perusahaan, Sains Rumah tangga, Sains Pertanian dan
Perdagangan.
Walaupun hasrat dan tujuan Akta
Pendidikan 1961 ini untuk menyatukan kaum yang ada di Malaysia
ini, tetapi secara praktikalnya, sukar untuk mencapai matlamat
itu memandangkan pola tempat tinggal yang berlainan. Misalnya
orang Melayu tinggal di kampung-kampung dan pinggir pantai, kaum
Cina tiggal di kawasan perlombongan dan kaum India di kawasan
ladang-ladang getah. Dengan ini tentulah amat sukar untuk
menyatukan mereka.
Selepas dari Laporan Rahman Talib
1960, muncul pula laporan-laporan seperti Laporan Hussein Onn
(1971) dan Laporan Mahathir 1976. Kedua-dua Laporan ini adalah
untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Negara yang sebelumnya
berdasarkan Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib.
Laporan Hussein Onn
(1971)
· Jawatankuasa laporan
ini diketuai oleh Hussein Onn yang menjadi Mentei Pelajaran
ketika itu.Tujuan utama Laporan ini selain dari untuk mengkaji
semula Dasar Pendidikan Negara ketika itu, juga adalah untuk
menyediakan pendidikan dasar bagi semua kanak-kanak dalam
lingkungan umur bersekolah. Ini dapat ditampung dalam
sekolah-sekolah aliran Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.
Ketika itu, di sekolah-sekola
kerajaan dan bantuan kerajaan masih dijalankan dalam dua bahasa,
iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Menurut laporan ini:
·
"Sistem pendidikan kebangsaan direkabentuk untuk memenuhi
keperluan negara dan mempertingkatkan pembangunan budaya, sosial.
Ekonomi dan politik. Jadi mulai 1968 bahasa Melayu telah mula
menggantikan bahasa Inggeris secara berperingkat-peringkat
sebagai baasa pengantar di sekolah-sekolah aliran Inggeris.
(Laporan Hussein Onn, 1971)
Walaupun kedudukan bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara, namun
kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua turut dipelihara.
Ini di atas rasa kesedaran bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa
antarabangsa yang amat penting dan penguasaan bahasa itu boleh
mempetingkatkan pembangunan negara.
·
Bahasa Inggeris adalah diwajibkan di semua sekolahh kerana
kepentingannya dalam pendidikan tinggi ddan perdagangan dan juga
hal- ehwal antarabangsa. Peringkat penguasaan bahasa Inggeris
yang tinggi menjadi sasaran sistem pendidikan. Masa mengajar
bahasa Inggeris ditambah dan guru-guru diberi latihan untuk
hasil yang baik. Bahasa Inggeris terus menjadi bahasa kedua.
(Laporan Hussein Onn, 1971)
Laporan Mahathir
(1985)
· Pada bulan september
1974, kerajaan telah menubuhkan satu Jawatankuasa Kabinet yang
dipengerusikan oleh Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana
Menteri, Dr, Mahathir Mohamad. Laporan ini bertujuan:
·
Untuk mengkaji semula matlamat-matlamat dan keberkesanan
sistem pendidikan yang diamalkan sekarang, dengan tujuan
memastikan keperluan tenaga manusia negara dipenuhi dalam jangka
pendek dan jangka panjang di samping untuk memastikan sistem
pendidikan ini memenuhi matlamat negara untuk melahirkan
masyarakat yang bersatu, berdisiplin dan terlatih.
(Laporan Mahathir, 1976)
Tujuan laporan ini adalah sama
dengan apa yang didapati dalam laporan Husein Onn. Matlamat
utama tidak lain dan tidak bukan untuk menyatupadukan rakyat
seperti yang terdapat dalam Akta Pendidikan 1961. Sebagai
langkah utama alat perpaduan ialah pendidikan. Input penting
dalam pendidikan ini ialah bahasa. Oleh itu aspek bahasa telah
menjadi penekanan. Dalam Laporan ini matlamat pendidikan bahasa
Malaysia (Bahasa Melayu) sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi
utama dan bahasa untuk menyatukan rakyat haruslah lengkap dan
jelas supaya guru-guru mendapat gambaran yang sebenar sebagai
panduan pengajaran harian mereka.
Dalam laporan ini kursus bahasa
Malaysia dalam perkhidmatan kepada guru-guru harus dikaji semula
dan penilaian terhadap keupayaan mereka yang telah mengikuti
kursus tersebut harus dijalankan secepat mungkin. Kedudukan
bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua tetap dijamin. Ada dua
tujuan bahasa Inggeris diajar diinstitusi pendidikan pada waktu
itu:
a.
Untuk membolehkan murid-murid menggunakan bahasa tersebut
dalam kerja dan aktivitinya.
b.
Untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka untuk
digunakan bagi tujuan pendidikan tinggi.
Akta Pendidikan 1996
· Falsafah Pendidikan
Negara dijadikan landasan Akta Pendidikan Kebangsaan yang
digubal setelah mengambilkira pandangan dan aspirasi semua pihak.
Dalam Akta Pendidikan, konsep
sistem pendidikan kebangsaan dimantapkan dengan meliputi semua
peringkat persekolahan dari peringkat pra sekolah hingga ke
peringkat pendidikan tinggi, dan meliputi semua kategori sekolah,
iaitu sekolah kerajaan , sekolah bantuan kerajaan dan sekolah
swasta.
Kedudukan Bahasa kebangsaan
diperkukuhkan dengan memperuntukkannya sebagai bahasa pengantar
utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Ini diperkuatkan lagi
dengan menjadikan bahasa tersebut sebagai mata pelajaran yang
wajib diajar di semua sekolah dan institusi pendidikan.
Kurikulum semua jenis dan kategori
sekolah akan selaras dengan kehendak negara apabila Kurikulum
Kebangsaan, yang diperuntukkan dalam Akta Pendididkan 1996 wajib
diguna oleh semua pihak.
Murid-murid dari semua jenis dan
kategori sekolah akan disediakan untuk mengambil peperiksaan
yang ditetapkan oleh kerajaan dan oleh itu akan memudahkan kita
menggunakan penilaian atau pengukuran yang sama tentang
pencapaian murid-murid dari sekolah-sekolah di negara kita.
Pendidikan Islam akan diperluaskan
utnuk meliputi murid-murid Islam di semua kategori sekolah
termasuk sekolah swasta dan diperkukuhkan dengan menjadi
pelajaran tersebut sebagai salah satu daripada pelajaran teras
di sekolah-sekolah.
Dengan adanya peruntukan yang
membolehkan Menteri Pendidikan menubuhkan dan menyenggara tadika,
maka dari keluarga yang kurang berada di bandar-bandar, akan
berpeluang mendapat pendidikan prasekolah yang menjadi asas yang
baik bagi memulakan pendidikan rendah.
Mutu Program pendidikan di semua
tadika juga akan dapat dipertingkatkan kerana tadika-tadika ini
akan diwajibkan menggunakan Garis Panduan Kurikulum Prasekolah
yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan.
Sejajar dengan penumpuan terhadap
usaha membudayakan pendidikan sains dan teknologi, pendidikan
teknik akan dipertingkatkan di sekolah menengah teknik dan
politeknik. Akta Pendidikan 1996 memudahkan sekolah vokasional
ditukartarafkan ke sekolah teknik, manakala politeknik boleh
mengadakan program kerjasama dengan mana-mana institusi,
perbadanan atau organisasi perindustrian untuk mengendalikan
kursus teknik atau vokasional atau program latihan, termasuk
program pertukaran. Politeknik juga boleh mengadakan program
bekembar bagi kursus peringkat diploma dan ijazah dengan
institusi-institusi pendidikan tinggi, sama ada dalam negeri
atau luar negeri.
Pendidikan guru akan dapat
diperrkukuhkan dengan adanya peruntukan yang membolehkan
Kementerian Pendidikan mengadakan progam pendidikan guru bukan
sahaja di peringkat sijil, tetapi juga di peringkat diploma dan
ijazah, iaitu secara berkembar.
Pendidikan swasta akan dapat
berkembang secara lebih sistematik dengan adanya peruntukan yang
spesifik bagi mengawal taraf pendidikan dan perjalanan
institusi-institusi tersebut. Dalam pada itu, institusi
pendidikan swasta juga boleh dikehendaki mengadakan pengajaran
Bahasa Kebangsaan, Pengajian Malaysia dan Pendidikan Islam atau
Moral untuk memupuk semangat cintakan negara dan nilai-nilai
murni.
Pendidikan khas akan diberi
perhatian yang lebih dengan adanya peruntukan yang cukup bagi
pendidikan tersebut.
Menyedari bahawa Malaysia adalah
sebuah negara berbilang kaum, dan berdasarkan pemuafakatan
politik yang telah dibuat oleh pemimpin-pemimpin negara yang
dahulu, Akta Pendidikan 1996 mengambilkira kepentingan semua
kaum dengan cara mengekalkan status quo sekolah rendah
jenis kebangsaan dan juga 60 buah sekolah Cina swasta. Di
samping itu Unified Examination yang diambil oleh
sekolah-sekolah ini serta lembaga pengelola sekolah conforming
dan sekolah mission dikekalkan.
Akta Pendidikan 1996 juga turut
memperuntukkan pengajaran bahasa suku kaum di negara ini
sekiranya didapati munasabah dan praktik diadakan. Kelas-kelas
agama seperti bible classes tidak diperlukan mendaftar di
bawah Akta Pendidikan 1996.
Perbezaan Dan
Persamaan Antara Akta Pendidikan 1996 Dengan Akta Pelajaran 1961
-
1.Landasan dan wawasan
Di dalam Akta Pendidikan 1996
dengan jelas memberitahu kepada kita bahawa dasar pendidikan
adalah berlandaskan kepada hasrat wawasan 2020 dan Falsafah
Pendidikan Negara. Ini dijelaskan seperti berikut:
DAN BAHAWASANYA tujuan
pendidikan adalah untuk membolehkan masyarakat Malaysia
menguasai ilmu, kemahiran dan nilai murni yang diperlukan dalam
dunia yang berdaya saing tinggi serta bersifat global, kesan
daripada perkembangan pesat sains, teknologi dan maklumat.
DAN BAHAWASANYA pendidikan
mempuunyai peranan penting dalam menjayakan wawasan negara demi
utnuk mencapai taraf negara maju sepenuhnya dari segi kemajuan
ekonomi, keadilan sosial, dan kekuatan rohani, moral dan etika,
ke arah mewujudkan suatu masyarakat yang bersatupadu, demokratik,
liberal dan dinamik.
.
DAN BAHAWASANYA Dasar Pendidikan
Kebangsaan adalah berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
yang dizahirkan seperti berikut:
"Pendidikan di Malaysia adalah
suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan
yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah
untuk menzahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketerampilan, berkhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan negara." (Akta Pendidikan 1996)
Di dalam Akta Pelajaran 1961 kita
dapati falsafahnya yang tidak tertulis dan tidak jelas. Yang
kita dapati hanyalah untuk menyatukan kaum di Malaysia selari
dengan masyarkat yang berbilang kaum. Ini dapat dilihat dalam
Dasar Pelajaran Kebangsaan mengikut Laporan Razak yang menjadi
asas kepada Akta Pelajaran 1961:
"Tujuan Dasar Pelajaran di dalam
negeri ini ialahh bermaksud hendak menyatuukan budak-budak
daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan menggunakan
bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walapun
perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta-merta
melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur."
(Penyata Razak, Perenggan 12)
-
Sistem Pendidikan Kebangsaan di semua peringkat
Seksyen 15 dan 16 dalam Akta
Pendidikan 1996 telah memperjelaskan tentang Sistem Pendidikan
Kebangsaan. yang meliputi semua peringkat dan jenis sekolah atau
institusi pendidikan kecuali sekolah ekspatriat.
"The National Education System
shall comprise
pre-School education;
primary education;
secondary education;
post-secondary education; and
higher education,
but shall not include education
in expatriate schools.
( Education Act 1996, sec.15)
"There shall be three categories
of educational institutions in the National Education System ,
namely
government educational
institutions;
government-aided educational
isntitutions; and
private educational
institutions.
(Educational Act 1996, sec. 16)
Manakala dalam Akta Pelajaran 1961
menyebut bahawa Sistem Pendidikan Kebangsaan hanyalah meliputi
sekolah atau institusi pendidikan kerajaan atau bantuan sahaja.
"For the purpose of this act,
the stages of statutory education system shall be as follws:
primary education;
lower secondary education;
upper secondary education;
education in the educational
institutions referred to in paragraph (a) to (d) o f section 25.
(Education Act 1961, Sec.19)
-
Kedudukan Bahasa Kebangsaan
Dalam hal ini kedua-dua akta telah
dinyatakan. Dalam Akta Pandidikan 1996 dijelaskan dalam seksyen
17 tentang kedudukan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar
utama di semua sekolah atau institusi kecuali di Sekolah Jenis
Kebangsaan atau lain-lain sekolah yang diberi pengecualian. Di
sini soal bahasa telah diperkukuhkan.
" (1) The National language
shall be the main medium of instruction in all educational
institutions in the National Education System except an
national-type school established under section 28 or any other
educational intitution exempted by Minister from this section.
(Education Act 1996, Sec. 17)
Manakala dalam Akta Pelajaran 1961
Bahasa Kebangsaan adalah bahasa pengantar sekolah kebangsaan dan
sekolah menengah kebangsaan sahaja.
-
Kurikulum kebangsaan
Dalam Akta Pendidikan 1996, seksyen
18 memperuntukkan semua sekolah perlu mengikut kurikulum
kebangsaan melainkan yang dikecualikan. Sedangkan dalam Akta
Pelajaran 1961, tiada langsung peruntukan.
" (1) The Minister shall
prescribe a curriculum to be known as the National Curriculum
which, subject to subsection (3), shall be used by all schools
in the National Education System."
(Education Ac 1996, Sec.18)
-
Peperiksaan Awam
Dalam seksyen 19 Akta Pendidikan
1996 telah memperuntukkan semua sekolah menyediakan murid untuk
peperiksaan awam, melainkan yang dikecualikan. Manakala dalam
Akta Pelajaran 1961 pula tiada peruntukan diberi.
"Every School shall prepare its
pupils for examinations prescribed by or unfer this Act or any
regulations made under this Act unless otherwise exempted by or
under this Act.
(Education Act 1996, Sec.19)
-
Bahasa Kebangsaan Sebagai Mata Pelajaran Wajib
Seksyen 17(2), Akta Pendidikan 1996
memperuntukkan Bahasa Kebangsaan sebagai mata pelajaran wajib di
semua sekolah.
(2) Where the main medium of
instruction in an educational institution is other than the
national language , the national language shall be taught as a
compulsory subject in the educational institution.
(Education Act 1996, Sec.17)
Manakala dalam Akta Pelajaran 1961,
Bahasa kebangsaan adalah wajib bagi sekolah-sekolah yang
dibiayai oleh kerajaan dan bantuan kerajaan sahaja.
-
Pengajaran Bahasa Cina dan Bahasa Tamil
· Dalam seksyen 2 Akta
Pendidikan 1996 telah memperuntukkan pengajaran bahasa Cina dan
Bahasa Tamil di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah
Kebangsaan boleh diadakan dengam satu syarat : jika ada
permintaan 15 orang ibu bapa atau lebih. Dengan ini lebih mudah
mengadakan kemudahan bagi pengajaran bahasa Cina dan Bahasa
Tamil.
Manakala Dalam Akta Pendidikan
1961, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil boleh diajar dengan dua
syarat:
a.
ada permintaan dari 15 orang ibu bapa
b.
jika didapati munasabah dan praktik.
Di sini menampakkan kepada kita
bahawa Akta Pendidikan 1996 lebih mudah mengadakan kemudahan
bagi pengajaran Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.
-
Bahasa Kaum Asli
· Akta Pendidikan 1996
telah memperuntukkan pengajaran bahasa kaum asli dengan dua
syarat:
a.
jika ada permintaan dari 15 ibu bapa
b.
jika didapati munasabah dan praktik
Melalui peruntukan ini , telah
memberi pengiktirafan kepada
bahasakaum Bumiputera untuk diperkembangakan.
Manakala dalam Akta Pelajaran 1961 tiada diperuntukkan.
·
(ii) the indigenous languages shall be made avaiable if it
reasonale and practicable so to do and if the parents of at
least fifteen pupils in the school so request;
· (Education Act
1996, Sec.2)
-
Kategori Sekolah
Seksyen 16 Akta Pendidikan 1996
memperuntukkan sekolah atau institusi pendidikan dibahagi kepada
tiga kategori : kerajaan, Bantuan kerajaan dan swasta. Manakala
dalam Akta Pelajaran 1961 institusi pendidikan atau sekolah
dibahagikan secara tidak langsung kepada dua kategori iaitu
bantuan penuh (termasuk kerajaan dan bukan milik kerajaan) dan
swasta.
Klasifikasi institusi pendidikan di
bawah Akta Pendidikan 1996 lebih memudahkan pentadbiran
khususnya berkaitan dengan sekolah kerajaan dan bantuan
kerajaan.
-
Menubuh dan meyenggara tadika
Dalam seksyen 21 Akta Pendidikan
1996, memberi kuasa kepada Menteri untuk menubuh dan menyenggara
tadika, sedangkan dalam Akta Pelajaran 1961 perkara ini tidak
begitu jelas. Seksyen ini perlu untuk membolehkan kementerian
mengadakan kemudahan prasekolah kepada kanak-kanak khususnya
masyarakat luar bandar dan berpendapatan rendah.
"The Minister may subject to the
provisions of this Act establish and maintain kindergartens"
(Education Act 1996, Sec. 21)
-
Kurikulum untuk Tadika
Dalam seksyen 22 Akta Pendidikan
1996 memperuntukkan garis panduan kurikulum untuk tadika bagi
menyelaraskan pendidikan di peringkat tersebut dan wajib
digunakan oleh semuua tadika. Manakala dalam Akta Pelajaran
1961, garis panduan ini tidak wajib digunakan bagi semua tadika.
-
Tempoh Pendidikan Rendah
Akta Pendidikan 1996 menyebut
dengan jelas bahawa pendidikan rendah adalah antara 5 hingga 7
tahun (lihat Seksyen 29). Dengan adanya peruntukan ini, dapat
menampung keperluan murid cerdas, sederhana dan lembab.
Dalam Akta Pelajaran 1961 tempoh
pendidikan rendah adalah 6 tahun. Dalam akta ini tempohnya agak
ketat.
"A national or national-type
school established under this Act shall provide a course of
primary education designed for duration of six years but which
may be completed within to seven years"
(Education Act 1996, Sec.29)
"national primary school", or
Sekolah kebangsaan, means a fully-assited primary school
providing a six-year course of
primary edducation appropriate for children between the ages of
six and eleven years;"
(Education Act 1961, Sec.2)
-
Pendidikan Lepas Menengah
Seksyen 33, Akta Pendidikan 1996,
memperuntukkan pendidikan lepas menengah di Sekolah Menengah
Kebangsaan , kolej atau mana-mana institusi pendidikan lain.
Melalui Seksyen ini boleh manampung dengan jelas kelas tingkatan
6, kelas matrikulasi dan sebagainya. Dalam Akta Pelajaran 1961,
tiada peruntukan yang jelas tentang pendidikan lepas menengah.
-
Politeknik Boleh Mengadakan Kerjasama
Akta Pendidikan 1996 seksyen 37,
membolehkan politeknik mengadakan program kerjasama dengan
mana-mana institusi, perbadanan atau organisasi
perindustrian.Manakala seksyen 38 membolehkan politeknik
mengadakan kursus pengajian atau program latihan bersama
peringkat sijil atau lain-lain kelayakan dengan mana-mana
universiti atau institusi pendidikan lain.
Seksyen 37 dan 38 ini amat
diperlukan untuk memenuhi keperluan pembangunan tenaga manusia,
berteraskan matematik, sains dan teknologi serta informasi.
Dengan ini wawasan 2020 akan menjadi kenyataan dan selaras denga
itu juga akan lahirnya sebagai sebuah negara maju setanding
dengan negara-negara maju yang lain.
Tiada Peruntukan berkenaan dengan
perkara ini dalam Akta Pelajaran 1961.
-
Pendidikan Khas
Selaras dengan sebuah negara yang
mahu mewujudkan masyarakat penyayang, maka dalam Akta Pendidikan
1996 telah diperuntukkan dalam seksyen 40, yang membolehkan
Menteri mengadakan pendidikan khas di sekolah khas atau
di mana-mana sekolah rendah atau menengah. Sedangkan dalam Akta
Pelajaran 1961, perkara ini tidak jelas.
-
Maktab Perguruan
Melalui seksyen 47 (1) ,
membolehkan maktab perguruan (maktab pendidikan) mengadakan
kursus peringkat ijazah, diploma atau sijil dan mengadakan
program kerjasama dengan universiti atau institusi pendidikan
tinggi lain. Melalui seksyen ini, selaras dengan hasrat untuk
mempertingkatkan kualiti tenaga pengajar, di sekolah-sekolah.
Khususnya hendak memupuk kepada pengeluaran guru-guru sains,
matematik dan IT yang lebihh banyak selaras dengan kehendak dan
perkembangan negara dengan menubuhkan sekolah bestari dan
perkembangan teknologi maklumat yang menjadi sebahagian dari
unsur kemajuan dan ketamadunan sesebuah negara khususnya
Malaysia.
Dalam Akta Pelajaran 1961,
peruntukan mengenai pendidikan guru adalah terlalu umum.
-
Pengajaran Agama Islam
Dalam Seksyen 50, Akta Pendidikan
1996 , memperuntukkan supaya Pendidikan Islam wajib diajar di
semua sekolah termasuk sekolah swasta bila terdapat 5 atau lebih
murid Islam. Ini amat penting untuk syiar dan nilai-nilai murni
yang sejagat.
Dalam Akta Pelajaran pula menyebut
bahawa Pendidikan Islam diwajibkan apabila terdapat 15 orang
atau lebih murid di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan sahaja.
-
Larangan tentang Pengendalian Peperiksaan
Seksyen 69, Akta Pendidikan 1996
mengkehendaki semua pihak yang menganjurkan peperiksaan awam
mendapatkan kebenaran dari Pengarah Peperiksaa. Tujuan seksyen
ini ialah untuk mengesan peperiksaan yang dijalankan oleh pihak
luar dan melindungi calon-calon dari tertipu dan mendapat
sijil-sijil atau apa-apa anugerah yang tidak diiktiraf oleh
kerajaan.
Perkara yang berkaitan dengan
sekyen ini tiada diperuntukkan dalam Akta Pelajaran 1961.
-
Lembaga Pengelola
Peruntukan dalam seksyen 62, Akta
Pendidikan 1996 , membolehkan Lembaga pengelola sekolah kerajaan
yang tidak berfungsi lagi dimansuhkan kecuali bagi sekolah Jenis
Kebangsaan dan sekolah-sekolah tertentu. Lembaga Pengelola
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kerajaan dikekalkan atas
permintaan mereka . Lembaga Pengelola Sekolah Bantuan Kerajaan
dan Sekolah Swasta memang dikekalkan kerana masih diperlukan.
Dalam Akta Pelajaran 1961, semua
kategori sekolah termasuk sekolah kerajaan perlu menubuhkan
lembaga pengelola.
-
Program "Twinning" dan "Lingkage"
Dalam seksyen 77 Akta Pendidikan
1996 telah memperuntukkan bahawa isntitusi pendidikan swasta
yang menjalankan program "twinning" dan "lingkage" hendaklah
mendapat kebenaran bertulis dari Menteri terlebih dahulu. Tujuan
seklsyen ini ialah untuk mengawal institusi-institusi pendidikan
tinggi swasta yang sedang pesat menjalankan program "twinning"
dan lingkage", selain dari pada memudahkan ke arah Malaysia
sebagai "Centre of Education Excellence".
Dalam Akta Pelajaran 1961, tiada
peruntukan tentang perkara ini.
-
Kuasa Untuk menyiasat
· Seksyen 136 Akta
Pendidikan 1996 memberi kuasa kepada Pendaftar untuk menyiasat,
seksyen 137 kuasa untuk masuk tanpa waran, seksyen 138 memulakan
dan mejalankan pendakwaan serta kuasa untuk mengkompaun
kesalahan. Dalam ketiga-tiga seksyen ini, Ketua Pendaftar atau
seorang pegawai awam yang diberikuasa bagi maksud itu secara
bertulis oleh Ketua Pendaftar atau seorang pegawai polis yang
berpangkat tidak rendah dari Inspektor mempunyai kuasa dalam
ketiga-tiga perkara dalam ketiga-tiga sekyen tadi.
Seksyen-syeksen ini akan
membolehkan Pendaftar Besar bertindak dengan lebih cepat dan
berkesan terhadap pihak-pihak yang melakukan kesalahan bagi
mengawal kepentingan masyarakat pengguna.
Dalam Akta Pelajaran 1996, tiada
peruntukan-peruntukan seperti ini. Ini adalah merupakan satu
pembaharuan untuk memudahkan penyiasatan dan tindakan diambil
kepada mereka yang melanggari akta ini.
Hubungan Akta
Pendidikan 1996 Dengan Pekembangan Sejarah Negara
· Akta pendidikan 1996
merupakan satu kesinambungan dengan Akta Pendidikan 1961,
sebagai sebuah Akta untuk melihatkan negara yang memunyai
masyarakat majmuk hidup bersatu padu di bawah satu bumbung
demokrasi melalui perlembagaan yang telah dibuat sebegitu rupa.
Dalam suasana masyarakat majmuk yang mempunyai "ethno-centristic"
yang masyarakatnya mempunyai pelbagai agama, budaya dan
fahaman "Cultural pluralism" tentunya perkara yang
berkaitan dengan perpaduan nasional perlu diambil perhatian dari
semasa ke semasa. Unutk mewujudkan proses pemasyarakatan ini,
Pendidikan adalah merupakan satu kaedah terpenting. Mendaulatkan
satu bahasa sebagai bahasa kebangsaan untuk semua kaum adalah
termasuk dalam ciri ini
· Sebagai sebuah
negara yang mempunyai pelbagai bahasa dan kaum, adalah amat
wajar bahasa Melayu telah dipilih untuk menjadikan bahasa
kebangsaan atau bahasa rasmi negara. Dalam soal ini sepanjang
tempoh negara kita merdeka sampai ke hari perkara ini amat
diambil perhatian. Melalui Akta Pendidikan 1996 dengan jelas
telah menyentuh tentang perkara ini.
Kesan dari tinggalan penjajahan
British dahulu merupakan amat payah untuk kita selesaikan,
kerana masyarakat Tanah Melayu pada waktu itu dibentuk dengan
sengaja oleh British untuk kepentingan politik mereka. Dasar
pecah dan perintah yang dijalankan itu, menyebabkan
pemimpin-pemimpin negara sampai sekarang terpaksa memikirkan
jalan tebaik untuk mencapai perpaduan. Dalam aspek ini, adalah
diharapkan semoga melalui Akta Pendidikan 1996 dapat membaiki
dan memantapkan perpaduan semua kaum di negara kita.
Hasrat, perancangan dan strategi
reformasi pendidikan yang terjelma melalui Penyata Razak dan
Rahman Talib dulu telah menampakkan kejayaan . Walaupun tidak
sepenuhnya. Dengan cara menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa
perantaraan di sekolah-sekolah dengan jelas kepada kita hasrat
kerajaan untuk menyetukan kaum dengan menggunakan bahasa Melayu
dan satu bentuk kurikulum yang sama.
Ekoran dari Akta Pendidikan 1961
telah lahirnya Universiti Kebangsaan Malaysia(1971) yang menjadi
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Hal ini telah
menampakkan bahasa Melayu bukan sahaja untuk dijadikan bahasa
untuk pembinaan pemuafakatan tetapi juga sebagai bahasa ilmu.
Menjelang tahun 1983, semua kursus di institusi pengajian tinggi
(sastera, Sains, Kejuruteraan, Perubatan , Undang-undang dan
sebagainya) dikehendaki diajar dalam bahasa Melayu kecuali
beberapa kursus yang dilonggarkan penggunaan bahasa pengantar
itu. Hal ini kerana semua pelajar yang memasuki
universiti-universiti selepas itu adalah daripada aliran Melayu.
Ini semua adalah wujud hasil dari kesinambungan dari Akta
Pendidikan 1961 dan berdasarkan Laporan Tun Hussein Onn (1971) .
Berikut adalah kronologi kedudukan
bahasa Melayu sebagai bahasa di sekolah-sekolah:
1.
Merupakan mata pelajaran wajib di sekolah rendah dan
menengah.bahasa pengantar darjah Satu
2.
Semua sekolah Inggeris ditukar menjadi sekolah Rendah
Kebangsaan
3.
Bahasa pengantar tingkat 1
4.
Bahasa pengantar tingkatan VI aliran sastera
5.
Bahasa pengantar jurusan sastera tahun satu di universiti
6.
Bahasa pengantar tingkatan VI aliran sains
7.
Bahasa pengantar semua peringkat persekolahan
8.
Bahasa pengantar semua kursus di universiti
Perkembangan pendidikan hendaklah
sejajar dengan perkembangan negara. Lantaran itu masyarakat kian
maju sesuai dengan penggunaan sains dan teknologi. Malaysia
sebagai sebuah negara baru tidak kecuali untuk merebut peluang
dan berjalan seiring dengan negara-negara lain. Maka satu
pendekatan dalam pendidikan harus diambil, dikaji dan dibina
semula. Sejaran negara telah berkembang ke era Sains dan
tekonolgi. Oleh itu pelajaran dan kurikulum pendidikan haruslah
berkembang selari untuk memenuhi guna tenaga dan dan melahirkan
masyarakt yang berilmu pengatahuan. Beberapa buah sekolah yang
bercorak teknik dan vokasional telah ditubuhkan.
Kini negara telah mula melangkah ke
tahap yang ketiga, dari dunia pertanian, dunia teknologi, kini
zaman dunia teknologi maklumat ( zaman global) yang memerlu
kepakaran dan kecanggihan yang tersendiri. Oleh itu amat sesuai
dengan adanya peruntukan-peruntukan tertentu yang menyentuh
berkenaan dengan insititusi yang berbentuk teknik dan vokasional,
kedudukan maktab perguruan, universiti dan sebagainya.
Kesemuanya di berikan peranan dan kuasa-kuasa tertentu untuk
meningkatkan mutu pendidikan negara sesuai dengan hasrat dan
falasafah pendidikan negara kita.
Kini, Melalui Akta Pendidikan 1996,
bukan lagi hanya mahu melihat dalam aspek perpaduan semata-mata
tetapi merupakan satu akta yang berupa agenda negara yang perlu
ditunaikan kerana bukan sahaja ke arah memupuk masyarakat
bersatu padu, tetapi turut menjadikan masyarakat Malaysia
sebagai masyarakat penyayang dan berkahlak mulia. Lantaran itu
wjudnya sekolah-sekolah khas seperti yang telah dinyatakan dalam
akta tersebut. Dengan memberi peruntukan-peruntukan tertentu
terhadap institusi pendidikan kita, maka akan lahirlah masyarkat
yang serba maju dan serba boleh . Untuk pengisian agenda negara
bukanlah mudah seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan ini
tetapi memerlukajian dari semasa ke semasa agar ia tetapi sesuai
dan mana-mana yang tidak sesuai dalam akta ini perlu
diperbetulkan mengikut kesesuaian.
Komen Terhadap Akta
Pendidikan 1996
· Akta Pendidikan 1996
telah menampakkan secara jelas, hala tuju dan wawasan pendidikan
kita , tidak seperti Akta pelajaran 1961 yang jelas hanyalah
untuk menyatupadukan kaum di Malaysia. Hal ini penting pada
waktu itu sebagai sebuah negara yang baru merdeka dan tugas
utama untuk menjaga perpaduan kaum. Akta Pelajaran 1961 adalah
sesuai pada waktu itu dan ia perlu diolah semula mengikut
kehendak dan aspirasi pendidikan masa kini. Lantaran itulah
lahirnya Akta Pendidikan 1996 yang lebih canggih dan dapat
mencapai cita-cita negara sekarang, yang mahu menjadikan
pendidikan sebagai asas pembangunan negara yang dilihat bukan
sahaja pembangunan dari segi material tetapi juga emosi dan
jasmani serta intelektualisme individu.
Dengan adanya akta baru ini, maka
hasrat dan cita cita negara untuk menjadi sebuah negara maju
dan berwawasan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, dapat
melahirkan tenaga kerja dan rakyat yang mempunyai daya inovatif
dan kreatif , turut menyumbang fikiran dan tenaga dalam mencapai
aspirasi negara seperti mana yang termaktub dalam Wawasan 2020.
Walaupun Akta Pendidikan 1996 ini
merupakan satu akta yang dapat kita katakan boleh memenuhi cita
rasa dan aspirasi negara tetapi dalam beberapa aspek dan sudut
tertentu ia boleh diperbaiki lagi.
Dalam seksyen 136, 137 dan 138 yang
memberi kuasa begitu besar dan longgar kepada Ketua Pendaftar
dan pegawai polis yang berpangkat tidak rendah dari Inspektor
untuk menyiasat, memasuki premis dan membuat dakwaan walaupun
tanpa waran dari mahkamah merupakan satu perkara yang boleh
ddikaji semula kerana seolah-olah autoriti dan kuasa yang ada
atau diberikan kepada pengetua atau tuan punya premis tercabar
dan boleh menjejaskan reputasi pendidikan negara. Waupun ini
adalah bertujuan untuk menjaga kebajikan dan kepentingan pelajar
dan mutu pendidikan tetapi kekerasan untuk memasuki premis
pendidikan oleh pihak berkuasa itu hendaklah dikaji semula.
Kehadiran dan penggelidahannya di premis pendidikan itu tanpa
waran dapat dianggap sebagai satu bentuk kekasaran.
Dalam soal bahasa bukan bahasa
ibunda teutama sekali bahasa Arab (sebagai bahasa Al-Quran)
tidak disentuh dengan jelas dalam akta ini, tidak seperti
bahasa-bahasa lain yang merupakan bahasa ibunda kaum di
Malaysia. Hanya tercatat dalam seksyen 2 , perkara (iii), Akta
Pendidikan 1996 yang berbunyi:
· Arabic, Japanese,
German or French or any other foreign language may be made
available if it reasonable and practicable so to do;
Bahasa Arab sebagai bahasa untuk
memperkembangkan agama Islam sepatutnya diberi penekanan selaras
dengan Islam sebagai agama rasmi negara. Malah bahasa Arab juga
adalah merupakan satu bahasa ilmu yang kita tidak boleh anggap
ringan. Sejarah perkembangan dan ketamadunan khususnya tamadun
Islam amat perlu kepada bahasa tersebut supaya ilmu yang dimilik
terutama oleh orang-orang Islam bukan hanya perlu merujuk kepada
golongan orientalis. Rujukan-rujukan agama Islam adalah tidak
lepas dan tidak sudah tanpa menggunkan bahasa Arab.
Peruntukan-peruntukan yang
membenarkan bahasa lain sebagai bahasa pengantar di institusi
pendidikan melalui akta ini sepatutnya disemak semula. Misalnya
kedudukan sekolah-sekolah ekspatriat begitu bebas, tidak terikat
dengan Sistem Pendidikan Kebangsaan, seperti yang terdapat dalam
Seksyen 15.
Begitu juga dalam seksyen 23, yang
membicarakan tentang kedudukan bahasa pengantar di sekolah
tadika. Manakala dalam seksyen 17 perkara 1 , Bahasa Kebangsaan
hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi
pendidikan dalam Sistem Pendidikan kebangsaan, tetapi ada juga
kekecualian yang diberi iaitu sekolah kebangsaan yang ditubuhkan
dibawah seksyen 28 atau mana-mana pendidikan lain yang dikecuali
oleh Menteri. Di sini menampakkan kepada kita kedudukan bahasa
kebangsaan masih lagi belum mantap sepenuhnya dalam Akta ini.
Kesan daripada membenarkan
bahasa-bahasa lain menjadi bahasa pengantar, maka kita dapati
1,290 buah sekolah Kebangsaan Cina dengan 580,000 murid dan 550
buah Sekolah Kebangsaan Tamil dengan 96,000 pelajar terus
menggunakan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Manakala 250 buah
institusi pendidikan tinggi swasta terus menggunakan Bahasa
Inggeris. (Datuk Zainal Abidin A. Wahid, 1999).
Menurut Datuk Zainal Abidin bin A.
Wahid lagi, Pada tahun 1997, iaitu terdapat 84,000 pelajar di
Institu Pendidikan Tinggi Swasta. Dari jumlah tersebut cuma 5
peratus sahaja pelajar Melayu dan di IPTA jumlah pelajar
bumiputera adalah 55 peratus dan bukan bumiputera 45 peratus.
Isu bahasa mempunyai perkaitan yang
rapat dengan perpaduan. Perpaduan yang wujud sekarang memang
telah jauh berubah, namun usaha-usaha memupuk dan meningkatkan
perpaduan merupakan agenda penting. Jika pengabaian isu bahasa
boleh menjejaskan perpaduan kerana keadaan ini boleh merosotkan
nilai ekonomi bahasa Melayu, boleh menjejaskan tata bahasa rasmi
dan bahasa perpaduan, memburukkan lagi ketidakseimbangan dari
segi penyediaan tenaga iktisas di kalangan bumiputera.
Pengabaian bahasa juga boleh menjejaskan perpaduan negara kerana
akan memperluaskan lagi jurang ketidakseimbangan ekonomi antara
kaum, juga mengakibatkan muculnya dua atau tida kumpulan pelajar
; aliran kebangsaan, aliran Inggeris dan aliran Cina.
Yang Berhormat Mulia Tengku
Razaleigh Hamzah telah membahaskan Rang Undang-undang Pendidikan
1995 di dewan Rakyat, pada 18 Disember 1995 (yang menjadi Akta
Pendidikan sekarang). Di antara kata-kata beliau ialah:
· "
..Inilah yang
tersurat di dalam seksyen 17 (1) rang undang-undang ini. Seksyen
ini menyatakan kedudukan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa
pengantar utama, tetapi seksyen ini juga turut memberi kuasa
kepada menteri untuk mengecualikan penggunaanya oleh mana-mana
institusi pengajian kita.
Apakah makna kata-kata ini? Apakah ia melambangkan
kesungguhan untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan atau ia
permulaan sikap tolak ansur kita dan seterusnya mebenarkan
kedudukan Bahasa Kebangsaan kita musnah? Atauu ia permulaan
kepada usaha untuk melenyapkan cita-cita Allahyarham Tun Razak
untuk menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar di
semua peringkat?
Bahasa kebangsaan yang bererti
bahasa Melayu seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan , perkara 152 hendaklah menjadi teras dan asas dalam
memantapkan perpaduan dan pendidikan negara. Oleh itu perkara
yang longgar berkenaan dengan isu ini hendaklah perlu dikaji
semula.
Dalam Akta Pendidikan 1996, apa
yang nampak kura selesa ialah dari segi kuasa yang diberikan
kepada Menteri. Begitu banyak kuasa yang diberikan. Sehingga
menampakkan bahawa kuasanya bboleh menghapuskan kemurniaan Akta
Pendidikan itu. Kuasa Menteri seperti mana dalam seksyen 143
dalam akta ini adalah dikira begitu besar:
· Menteri boleh, jika
difikirkannya wajar dan demi kepentingan sesuatu institusi
pendidikan atau demi kepentingan murid atau awam, melalui
perintah yang disiarkan dalam warta, mengucualikan institusi
pendidikan atau mana-mana golongan atau golongan-golongan
institusi pendidikan daripada semua atau mana-mana peruntukan
Akta ini kecuali peruntukan pendaftaran, sama ada secara mutlak
atau tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkan patut
dikenakan, dan boleh pada bila-bila masa menurut budi bicaranya
membatalkan pengecualian itu atau mengubah atau menambah
syarat-syarat itu.
Walaupun ada beberapa perkara yang
bolehh diperbincangkan lagi terhadap beberapa keratan atau
seksyen, tetapi ternyata ia adalah merupakan satu perundangan
yang dapat menggambarkan hasrat negara.Dengan harapan melalui
akta ini akan dapat melahirkan satuu corak pendidikan yang
unggul dan menjadi kebanggaan bukan sahaja di negara kita bahkan
di seluruh dunia. Sesungguhnya ciri-ciri lama untuk
menyatupadukan kaum masih terkandung dalam Akta baru ini dan
gabungjalin di antara hasrat Akta Pelajaran 1961 dengan hasrat
yang dibincangkan itulah maka lahirnya satu bentuk kurikulum
pendidikan yang canggih dan telah mulai dirasai oleh rakyat kini.
Namun usaha-usaha penyemakan terhadap kedudukan bahasa Melayu (Bahasa
Kebangsaan di institusi pendidikan, kedudukan institusi
pendidikan dan kuasa-kuasa menteri dan kuasa penyiasat yang
tidak memerlukan waran untuk memasuki premis dan kuasa
penggeledahan adalah difikirkan patut disemak semula. Ini adalah
tidak lain dan tidak bukan untuk menjaga kemurnia Akta
Pendidikan itu sendiri dan mancapai matlamat pendidikan negara
dan Wawasan 2020.
Rujukan:
- Akta
Pendidikan 1961, International Law Book Service, Kuala
Lumpur, 1984
- Akta
Pendidikan 1996, International Law Book Service, Kuala
Lumpur, 1998
-
Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar
Pelajaran, Kementerian Pelajaran Malaysia , Kuala
Lumpur, 1988
- Hamedi
Mohd Adnab, Bahasa Melayu STPM ,Nurin Enterprise,
Kuala Lumpur, 1994
- Shahril
@ Charil Marzuki, Zainun Ishak, Leo Pau Wing, Dr.Saedah Hj.
Siraj, Pendidikan di Malaysia, Utusan Publication,
Kembali ke atas
|